Wednesday, May 20, 2015

Che Ta mahu tumpu bisnes

Che Ta mahu tumpu bisnes
May 20th 2015, 19:32

shakilawati@hmetro.com.my

Sejak hamil, pelakon jelita, Rozita Che Wan memperlahankan kariernya sebagai pelakon dan lebih menumpukan pada kerja-kerja penerbitan menerusi syarikatnya, Padusi Productions.

Kini selepas melahirkan anak, Rozita atau Che Ta akui makin selesa duduk di belakang tabir berbanding beraksi depan kamera.

Katanya, lakonan bukan jiwanya tetapi menceburi bidang itu kerana ia menawarkan pendapatan lumayan untuk mengumpul modal berniaga.

"Saya sudah penat berlakon, sampai satu tahap rasa malas. Mungkin kerana ia bukan jiwa saya. Awal pembabitan lagi saya tak rasa 'enjoy' apabila berlakon namun memandangkan kerjaya ini lumayan pendapatannya dan kebetulan pula tawaran tidak putus, saya teruskan juga.

"Alhamdulillah, hasil lakonan saya boleh kumpul modal untuk berniaga tudung dan jubah. Akan datang, minyak wangi dan koleksi pakaian kanak-kanak," katanya.

Che Ta terharu apabila minyak wanginya terjual 5,000 botol dalam tempoh seminggu apabila dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya walaupun pelancarannya hanya dilakukan bulan depan.

Katanya, minyak wangi menggunakan label Precious By RCW bakal dilancarkan Mei ini tetapi sambutannya cukup luar biasa.

"Saya tak sangka semua stok sudah habis dalam tempoh seminggu. Perancangan sudah dibuat dari tahun lepas. Selama ini saya hanya jadi duta, terfikir kenapa tidak keluarkan produksi sendiri.

"Saya mahu jual wangian yang mampu milik dan halal kandungannya. Dengan harga RM29 sesiapa saja boleh memilikinya termasuk pelajar.

"Buat masa ini saya terbitkan satu wangian saja untuk tengok pasaran. Insya-Allah selepas ini akan menyusul beberapa koleksi wangian lagi," katanya yang turut gembira apabila tudung yang dijual turut laris ibarat pisang goreng panas.

Apa pun kata Che Ta, sesekali dia akan berlakon tetapi hanya dengan Zeel Production dan syarikat miliknya, Padusi Productions.

"Zeel Productions sudah saya anggap seperti keluarga sendiri. Saya sudah kenal rapat dengan penerbit, pengarah dan kru produksi itu, jadi rasa selesa.

"Kalau dengan produksi lain ambil masa untuk sesuaikan diri. Harap mereka tidak terasa. Lagipun saya sibuk dengan produksi sendiri," katanya yang mengakui rezekinya semakin murah sejak bertudung.

Che Ta akui tanggungjawab dan cabaran sebagai penerbit cukup mencabar, waktu sama bidang itu sangat menarik baginya.

Katanya, ada ketika boleh menyebabkan dia sakit kepala namun tidaklah seteruk berlakon. Apabila timbul masalah di lokasi, sebagai penerbit dia perlu bijak mencari penyelesaian dan pantas bertindak.

"Alhamdulillah, Padusi sudah menerbitkan tiga program dan saya semakin seronok bekerja di belakang tabir. Selepas menerbitkan program Resepi Memikat Suami dan telefilem raya, Wak Lu Sayang Lu, Padusi tampil memperkenalkan rancangan baru, Aku Yang Masak Kau Yang Panas.

"Rakaman Resepi Memikat Suami musim kedua juga bermula 24 April disusuli program raya, Rendang Dendang Dangdut.

"Mengenai Aku Yang Masak Kau Yang Panas, saya tahu rakyat Malaysia sukakan program memasak. Penyampaian program ini lebih santai dan menguji skil di dapur barisan artis terbabit.

"Ada antara mereka langsung tidak pandai masak tetapi mampu melaksanakan tugasan diberi dengan baik. Juara bakal membawa pulang RM20,000," katanya.

Bakal bersiaran menerusi Astro Ria dan Maya HD bermula 30 April ini, program 13 episod ini menyaksikan 12 selebriti tanah air berentap di dapur antaranya Amelina, Ieda Moin, Dafi, Keith Foo, Nadiya Nisaa, Michael Ang dan Marsha Milan.

Program 13 episod ini diacarakan Jihan bersama Chef Adu serta artis jemputan setiap minggu. Antara juri jemputan program ini ialah Enot, Norsheila Amin, Zul Yahya, Serina Redzuawan, Che Nizam Nor dan Chef Florence Tan.

Amelina biasa di dapur

Sebagai ibu mempunyai enam anak, memasak sudah jadi rutin harian Ratu Dangdut, Amelina. Pengalaman membesarkan anak-anak membuat dia tidak kekok berada di dapur malah mendidiknya menjadi individu kreatif mengubah suai makanan berdasarkan apa bahan mentah yang ada.

Skil itu banyak membantunya ketika menyertai program Aku Yang Masak Kau Yang Panas. Bagaimanapun, Amelina akui memasak depan kamera tidak sama memasak di rumah.

Katanya, jika sebelum ini jari jemarinya lincah di dapur, depan kamera seakan kaku malah gementar seluruh tubuhnya.

"Sejak dulu saya suka tengok program masakan. Teringin juga masuk, tak sangka impian jadi kenyataan. Bila masak depan kamera, baru tahu apa yang rakan artis dalam program masakan lain rasa sebelum ini. Berdebar, Tuhan saja yang tahu.

"Apatah lagi ada bahan rahsia yang hanya tahu apabila rakaman berlangsung. Waktu itu otak kena cepat fikir apa bahan yang kita perlu ambil untuk masak.

"Lain benar rasa masak di rumah dan masak depan kamera. Mula-mula rasa canggung tapi selepas beberapa episod saya sudah dapat suaikan diri.

"Mujur sudah biasa ubah suai bahan masakan di rumah, jadi bolehlah saya guna skil itu dalam program ini," katanya.

Amelina yang kembali menyerikan industri seni baru-baru ini selepas lama menyepi mengakui sejak dulu dia suka memasak sendiri daripada membeli.

Dia percaya air tangan ibu dapat mengikat kasih anak-anak selain dapat menjimatkan kos.

"Saya suka masakan kampung. Apa saja masakan melambangkan makanan Melayu, Insya-Allah saya boleh buat.

"Kek dan biskut pun boleh. Anak-anak suka makan. Apabila ada anak ramai, sebiji kek tak cukup. Kenalah masak dua atau tiga biji baru puas makan.

"Bayangkan kalau beli di luar dah berapa ratus kena bayar? Lagipun rasanya belum tentu sedap dan bersih.

"Bab makan, anak tak cerewet. Apa yang saya masak mereka akan makan cuma kenalah tukar resepi. Kalau asyik ulang resipi sama dua tiga hari jemu pula anak-anak nanti," katanya.

Amelina yang bakal muncul dengan single baru Mei ini menyifatkan pengalaman menyertai program berkenaan sangat menyeronokkan apatah lagi dapat bertemu ramai artis lama dan baru.


unsubscribe from this feed

No comments:

Post a Comment