Wednesday, July 29, 2015

Kabinet ‘Musang Berjanggut’

Kabinet 'Musang Berjanggut'
Jul 30th 2015, 00:18


Pada tahun 1959, seniman Agung P Ramlee mengarah dan menerajui sebuah filem berjudul 'Musang Berjanggut' yang diterbitkan oleh Runme Shaw. Filem tersebut dilakonkan antara lain oleh P Ramlee sendiri sebagai Tun Nila Utama, dan Saadiah sebagai Puspa wangi. Aku masih ingat menonton filem ini di rumah bersama ibu dan Mak Ngahku.

Apa yang mempesonakanku sebagai kanak-kanak pada waktu itu ialah kepintaran Puspa Wangi berpayung di dalam hutan untuk mengelak ranting jatuh, menghindar ular berbisa hinggap selain ketekunannya mengasing rempah ratus yang dibawa oleh Tun Nila Utama. Ia melangkaui logik dan rasional seorang anak kecil sepertiku pada kala itu.

Hari ini aku menonton semula 'Musang Berjanggut' dan aku dapati mesej yang ingin dihantar oleh P Ramlee jauh lebih besar dari mesej miang-miang keladi, semakin tua semakin menjadi.

Bahagian kedua filem ini memaparkan kerendahan moral, kebobrokan akhlak dan ketololan kabinet Sultan Alam Shahbana, yang dipimpin oleh Bendahara atau Perdana Menterinya iaitu Datuk Bendahara Paduka Raja berserta Datuk Bentara Mangkabumi, dan Datuk Pujangga.

Lebih menjolok mata, atau menggelikan hati ialah pemaparan seorang ulama jahat (ulama su') iaitu Datuk Nikah Kahwin yang mempunyai janggut. Mereka adalah gambaran loyalists yang kita kenal hari ini sebagai minions (atau Pak Turut buta).

Untuk mereka yang asing sekali dengan filem ini, 'Musang Berjanggut' mengisahkan seorang raja yang mempunyai seorang anak angkat dari kalangan rakyat jelata iaitu Tun Nila Utama.

Setelah tiba umur untuk berkahwin, raja telah menitahkan beliau mencari jodoh. Akan tetapi Tun Nila Utama enggan menikahi anak-anak gadis pembesar di negeri Pura Cendana tersebut dengan alasan perangai mereka menjengkelkan.

Beliau menegaskan ingin merantau ke luar negara untuk mencari gadis yang benar-benar perempuan dan bukannya betina. Itu akan diukur menerusi kesanggupan seorang perempuan menyaring dan memilih rempat ratus yang diisi sekali dalam satu uncang. Bahan tersebut hendaklah menjadi satu hidangan.

Setelah menempuh perjalanan yang jauh dan berusaha mencari wanita yang sabar dan tekun mengasingkan bahan memasak dalam uncang tersebut, Tun Nila Utama bertemu dengan Puspa Wangi yang bijak dan rajin.

Kedua-duanya berkahwin dan Puspa Wangi dibawa pulang dalam satu pelayaran yang panjang. Kejelitaan Puspa Wangi menggemparkan seisi negeri.

Sultan, Bendahara dan seluruh kabinet pentadbiran Pura Cendana bersatu hati untuk memikat dan merebut isteri Tun Nila Utama. Skandal besar menimpa di mana Sultan berpura-pura uzur dan menitahkan supaya Tun Nila Utama mencarikan Musang Berjanggut sebagai penawarnya.

Semua itu satu helah dan perdaya untuk melencongkan tumpuan agar masing-masing dapat menggoda dan membaham Puspa Wangi semasa ketiadaan Tun Nila Utama. Demikian ahli kabinet saling tutup menutup rahsia dan hasrat jijik masing-masing sehingga yang benar, iaitu suaminya akan dihalakan mencari sesuatu yang sia-sia.

Apa yang berlaku seterusnya adalah satu wacana demokrasi yang luar biasa sekali daripada P Ramlee. Puspa Wangi yang boleh sahaja meninggalkan suaminya Tun Nila untuk menjadi isteri Sultan atau Bendahara memilih untuk kekal setia. Dalam menghadapi muslihat kuasa feudal Melayu yang sangat hodoh itu, Puspa Wangi dengan beraninya menyusun strategi.

Raja dan seluruh menterinya yang tepu skandal itu harus diajar. Makanya Puspa Wangi saat digoda oleh Raja dengan beraninya mengajak Sultan supaya datang ke rumahnya pada malam hari.

Di luar pengetahuan raja, Puspa Wangi juga membodohkan menteri-menteri kabinet yang tertarik dengan keayuannya supaya ikut datang ke rumah pada waktu yang hampir sama. Menteri yang paling awal tiba ialah menteri hal ehwal agama.

P Ramlee meletakkan menteri agama atau Datuk Nikah Kahwin itu sebagai pentadbir paling korup dan rendah akhlak sekali. Selain nama wataknya 'nikah-kahwin', tata rias watak yang 'berjanggut' dan 'berjubah' turut merujuk watak tersebut sebagai seorang agamawan. Datuk Nikah Kahwin saat dihidangkan kopi sempat menseranah isterinya dan mengangankan untuk meniduri Puspa Wangi.

Ketika itu terjadilah dialog antara Puspa Wangi dan Datuk Nikah Kahwin dalam babak 61 yang berbunyi:

Puspa Wangi: Kanda, bolehkah dinda bertanya tentang undang-undang negeri di sini?
Datuk Nikah Kahwin: (mengangguk) Boleh, apa salahnya…undang-undang apa dinda?
Puspa Wangi: Salah atau tidak jikalau seorang lelaki, masuk di rumah seorang perempuan, semasa suaminya tak ada di rumah?
Datuk Nikah Kahwin: Hoi, itu salah besar… salah besar.
Puspa Wangi: (Menuding jari) kalau begitu, kanda ni kan salahlah.
Datuk Nikah Kahwin: Eh salah jugaklah. Tapi itu tak jadi apa, sebab… undang-undang dalam ini negeri kanda yang bikin. Itu semua boleh padam (ketawa).

Perbualan dua watak di atas bukanlah sesuatu yang bersengaja oleh P Ramlee. Sebagai seorang seniman yang mahir aspek dramaturgi. Keberadaan adegan ini adalah sesuatu yang sarat dan tepu maksud.

Ia menunjukkan korupnya moral segelintir agamawan yang mendukung kuasa politik. Mereka sanggup merubah hukum agama demi menghalalkan penerusan kuasa.

Ia juga menunjukkan wewenang politikus yang boleh bertindak melulu dan semberono demi kepentingan diri. Ia adalah pencabulan hak rakyat.

Privasi Puspa Wangi diceroboh dan diancam, dan Datuk Nikah Kahwin selaku politikus-ulama tidak berasa salah akan perbuatannya. Kehadiran dialog ini dalam dramaturgi 'Musang Berjanggut' adalah sindiran keras yang luar biasa pada waktu itu.

Dramaturgi bermaksud naratif filem. Sesebuah naratif filem merangkumi tiga aspek iaitu kausaliti (sebab-akibat), latar masa dan ruang. Dramaturgi sesebuah filem adalah terbuka dan boleh diisi dengan ideologi, gagasan, dan penyebaran budaya tertentu.

Menurut Robert Stam dan Louise Spence dalam makalah mereka bertajuk Colonialism, Racism and Representation: An Introduction, menegaskan yang kemudiannya seseorang penonton berhak menafsir lantaran mereka datang dengan tanggapan yang terbentuk oleh latar budaya dan ideologi.

Bukan itu sahaja, filem itu sendiri sebagai satu institusi sedang melakukan satu bentuk pencorakan, atau pembentukan identiti menerusi dramaturgi atau naratif yang dikemukakan. Dalam hal ini, penonton sepertiku bebas menafsir isian dramaturgi 'Musang Berjanggut'.

Abu Hassan Hasbullah dalam sebuah makalahnya berjudul 'Filem Sebagai Ar Risalah Menemukan Keimanan dan Kebijakan Dramaturgi Wayang Gambar Melayu' menyatakan dramaturgi adalah naratologi, atau ilmu berkenaan falsafah dan ideologi yang diwacanakan dalam penceritaan filem.

Kedua ialah sinematomi, iaitu berkenaan dengan 'struktur, dan bentuk' yang meliputi aspek pengarahan, sinematografi dan lakonan.

Ini bermaksud, beliau beranggapan sinematomi itu sendiri merupakan satu komponen dramaturgi dan bukan terhad kepada naratifnya sahaja.

Oleh kerana itu, busana, mekap, pencahayaan, ruang dan apa sahaja yang muncul dalam skrin filem adalah bahagian dari dramaturgi dan tidak bebas dari kritikan atau ulasan seorang 'spectator'.

Jelasnya dramaturgi adalah naratif sesebuah filem yang berhubung rapat dengan isian, muatan, dan wacana yang disuguhkan oleh sesebuah filem.

Dalam hal ini, sesebuah dramaturgi boleh memuatkan wacana tentang demokrasi, kritikan terhadap real-politik atau hak asasi manusia untuk ditampilkan sebagai satu muatan, isian, atau lebih dikenal penonton awam sebagai 'mesej' sesebuah filem itu.

Merujuk kembali kepada filem 'Musang Berjanggut', Puspa Wangi yang diancam satu skandal moral yang besar dan korupsi peringkat tertinggi telah bertindak cerdas dengan memperdayakan politikus jahat tersebut.

Oleh kerana Datuk Pujangga tiba, Datuk Nikah Kahwin telah dengan segera dipaksa masuk ke dalam sebuah peti untuk bersembunyi.

Datuk Pujangga pula diperdaya minum kicap setelah nyaris mati tercekik, diikuti oleh Bendahara iaitu Perdana Menteri yang dibodohkan mencium kakinya Puspa Wangi sebelum dipaksa menjadi patung ekoran kehadiran mendadak baginda Sultan.

Tidak cukup menjadikan Bendahara negeri Pura Cendana sebagai patung bodoh yang boleh bergerak, atau menteri-menterinya yang dirujuk sebagai katak dan tikus, Sultan yang juga menggilai Puspa Wangi dibangangkan supaya menjadi kuda.

Oleh kerana Sultan dalam keadaan horny bernafsu, Puspa Wangi mengambil kesempatan itu meminta raja menjadi binatang. Kata Puspa Wangi:  Ya, menjadi kuda-kuda. Dinda akan pacu di belakang kanda dan kanda mesti pusing-pusing di tempat ini sepuluh kali. Sudah cukup sepuluh kali, dinda akan menurut apa sahaja kemahuan kanda.

Bukan itu sahaja, Puspa Wangi memukul punggung Sultan dengan rotan dan meminta raja merangkak perlahan-lahan seraya membilang. Sasarannya ialah raja harus membuat sepuluh pusingan. Keesokan hari dalam keadaan aib, peti berisi musang berjanggut (Datuk Nikah Kahwin) diusung ke balai rong seri untuk diserahkan.

Yang penting untuk dinyatakan di sini: Rakyat jelata berada dalam musykil, gelap, dan serba jahil tentang konspirasi atau skandal peringkat tertinggi itu. Birokrat seperti tergambar pada watak pengawal diusir keluar supaya jangan mengetahui rahsia. Rakyat pula ditinggal serba berteka-teki.

Hak untuk mendapat maklumat dan menentukan pilihan politik dikesampingkan. Raja sekali lagi, di saat akhir mengingatkan bahawa jika ada lagi khabar angin mengenai skandal musang berjanggut itu timbul, pencetusnya akan dipotong kaki. Hanya menteri dan raja saling mengetahui aib masing-masing dan kerana malukan skandal yang sangat besar itu, raja memilih untuk turun takhta seraya menyerahkan tugas kepada Tun Nila Utama.

Titah Sultan: Ayahanda sudah tua, sudah uzur. Suda tua dan tak layak lagi memerintah sekalian rakyat. Dari itu, niat ayahanda hendak pergi ke tanah yang suci, menunaikan fardu haji.
Datuk Menteri membalas: Apa hal dengan kami semua ni Tuanku?
Sultan menjawab: Datuk-Datuk semua ambil pencen. Berhenti.

Di Pura Cendana bagaimanapun moral ahli kabinet Sultan masih tinggi. Oleh kerana masing-masing sudah tahu salah dan aib sendiri, mereka tidak saling tahan mempertahankan. Mereka tahu segan dan malu.

Apatah lagi yang menangkap kecabulan dan kebaculan mereka itu ialah seorang perempuan yang bijak. Makanya mereka memilih untuk berundur demi menyelamatkan maruah negeri.

Skandal dikambus dan untuk menjaga citra, Menteri akan berpencen dan raja akan naik haji demi memperlihatkan imej bersih. Datuk Nikah Kahwin, sang agamawan akan bertaubat nasuha.

Apa yang dibina P Ramlee dalam dramaturgi 'Musang Berjanggut' itu terang sekali. Di Pura Cendana, memang ada Puspa Wangi sebagai ejen perubah dan pejuang demokrasi.

Malahan yang jauh lebih besar adalah P Ramlee memilih seorang perempuan yang independen dan feminis sebagai simbol ini. Puspa Wangi harus diingat bukan kerabat tetapi orang kebanyakan.

Puspa Wangi datang dari luar. Memang diperlukan orang luar Pura Cendana untuk membaiki negeri kerana yang ada di situ, seperti nukilan P Ramlee, hanyalah 'betina', bukannya perempuan. Sayangnya bukan di setiap negeri terdapat protagonis persis Puspa Wangi.

Mungkin orang luar seperti Puspa Wangi akan dibantah dan dilihat sebagai ejen asing pencetus porak peranda. Malangnya, bahkan, yang lebih ramai adalah musang berjanggut yang sanggup merubah undang-undang negeri untuk menjaga tembolok dan diri sendiri. Mereka berani menipu, berbohong dan memutar alam.

Dan rakyat? Apa pentingnya rakyat? P Ramlee secara halus menyampaikan, mereka tidak signifikan. Rakyat akan kekal dalam gelapnya, dan sehingga bila pun tiada keperluan dibawa masuk berunding.


unsubscribe from this feed

No comments:

Post a Comment