opie@hmetro.com.my
Penampilan mereka dengan imej menjelikkan apabila menggunakan props unik bagi menyembunyikan identiti tidak disangka membuatkan nama kumpulan Kelembai meletup, malah aksi mereka menerusi klip video yang dihasilkan turut mendapat pujian apabila menjadi viral di laman sosial.
Menariknya, pelbagai pertikaian muncul di alam maya bagi menjelaskan identiti sebenar empat individu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengikut mereka, namun telahan sukar dipastikan kebenaran kerana pemilik nama Kadok, Buang, Tamin dan Raoh sememangnya berusaha mengelak daripada dikenali.
Kadok selaku vokalis menyembunyikan identiti dengan mengenakan topi keledar berpenutup muka, pemain gitarnya Buang pula berambut panjang palsu, berkaca mata hitam selain memakai topeng gas, pemain bass Tamin juga berambut panjang palsu dan topeng gas, cuma Raoh (dram) saja menyarungkan baldi di kepala.
Ibarat tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Populariti yang diperoleh mereka berlaku dalam sekelip mata menyamai pemuzik busker cacat penglihatan Caliph Buskers, sebelum ini.
Kehadiran mereka di arena muzik sekadar suka-suka dan tidak berniat untuk popular. Bagaimanapun, klip video Basikal Tua nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dengan penampilan unik dan komedi menjadi viral menyebabkan nama Kelembai meniti di bibir peminat yang menggemari muzik retro.
Kadok ketika ditemui berkata, mereka berempat adalah rakan rapat dan sering berjumpa untuk bermain muzik bagi mengisi masa lapang berikutan bekerja dalam pengurusan acara sekali gus membentuk keserasian hingga tercetus idea penubuhan kumpulan itu pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, pada masa sama mereka yang berasal dari Kedah mempunyai pengalaman antara tiga hingga lima tahun dalam bidang muzik selalunya berkumpul di pondok yang menjadi tempat latihan bagi berkongsi idea dan bermain muzik.
"Ketika itu, pondok tempat kami berlatih bermain muzik melalui proses ubah suai dan kebetulan saya sedang membancuh simen sebelum secara spontan kami terfikir untuk 'jamming'. Kami semua menutup muka masing-masing dengan props yang ada seperti topi keledar, baldi dan rambut palsu.
"Ia sekadar suka-suka dan tidak mahu identiti dikenali, lagi pun kami beraksi di bawah pokok di belakang pondok saja. Akhirnya lagu Basikal Tua berjaya dirakam secara spontan oleh rakan kami iaitu Kaloi sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook awal tahun ini.
"Pada mulanya hanya beberapa orang sahaja melihatnya, tetapi selepas beberapa jam kemudian tontonan klip video berkenaan semakin meningkat sehingga menjadi viral dan nama Kelembai mula dikenali," katanya ketika bertemu RAP di Kulim, Kedah, baru-baru ini.
Kadok berkata, kemunculan mereka dalam industri muzik bukan untuk bersaing atau meraih populariti, sebaliknya sekadar bermain muzik secara santai dengan karakter tersendiri.
Aksi keluar dari peti ais disukai ramai
Kumpulan Kelembai tidak mempunyai aliran muzik tertentu tetapi cenderung kepada rock retro.
Setakat ini mereka sudah memuat naik kira-kira 15 lagu cover dalam tempoh empat bulan untuk tatapan peminat di Facebook yang kini mencecah lebih 34,000 pengikut.
Antara lagu seperti Hati Ku Kau Guris Luka, Sweet Child O Mine, Rajawali, Billie Jean, She's Gone, medley Gila Judi/Awak Kat Mana, Azura, Dunia Perlumbaan, Gaban, Ayah dan Ibu, Jangan Tinggal Daku, Keroncong Untuk Ana, medley Debunga Wangi/Teratai dan Kaulah Segalanya.
Kadok berkata, mereka hanya minat bermain muzik dan mahu menghiburkan peminat dengan membawa kelainan sekali gus tidak mahu identiti dikenali.
"Cuma aksi saya keluar dari peti ais dalam klip video Hati Ku Kau Guris Luka (Sweet September) menjadikan nama Kelembai lagi dikenali kerana keunikannya.
"Semuanya berlaku secara spontan disebabkan props peti ais berada di belakang pondok maka kami menggunakannya dan tidak sangka disukai pula," katanya.
Pilih nama Kelembai
Kelembai tidak membawa maksud tertentu kepada kumpulan mereka kerana ia dipilih selepas mengadakan perbincangan untuk mencari nama bersesuaian.
Buang yang berterusan menyembunyikan identiti di sebalik rambut palsu dan kaca mata hitam ketika ditemu bual berkata, mereka mahu meletakkan nama unik dan klasik seperti studio rakaman milik Datuk M Nasir iaitu Luncai Emas.
"Macam-macam nama kami fikirkan bermula dengan Sangkuriang sehingga muncul nama Tanggang, tetapi nama Tanggang memang tidak sesuai kerana begitu keras.
"Akhirnya terpacul nama Sang Kelembai dan kami bersetuju memilih nama Kelembai kerana ia unik, sesuatu yang klasik walaupun nama itu tiada sifat komersial. Sebabnya kita hanya mengetahui watak mitos Sang Kelembai sebagai makhluk supernatural, tetapi tidak pasti siapa dia sebenarnya.
"Biar orang kenal persembahan kami, bukan kenal identiti kami," katanya.
Menurut Buang, banyak cabaran didepani sebelum nama Kelembai semakin harum termasuk pernah diperlekehkan rakan sendiri kerana penampilan imej yang dikatakan kekampungan, selain imej entah apa-apa atau menjelikkan.
"Kami nyanyi buruk (tidak sedap), orang tidak tahu, kalau kami nyanyi sedap pun orang tidak tahu siapa kami. Apa yang penting kami akan terus berada di sini (dunia hiburan) selagi mempunyai peminat dan pengikut," katanya yang sedang menyediakan material untuk mengeluarkan single bergenre rock atau pop komersial selepas Aidilfitri.
Kelembai juga bakal mengadakan persembahan di Festival Rock Santai di Melaka Wonderland Theme Park Resort pada 31 Mei ini dan Karnival Gurun, Kedah pada 7 Jun depan.
No comments:
Post a Comment